Home Nasional Didenda RM30,000 sorok barang kawalan bernilai RM4,000

Didenda RM30,000 sorok barang kawalan bernilai RM4,000

Tertuduh Samchah Mohamad (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Padah menyorokkan barang keperluan asas kawalan berupa minyak masak, tepung gandum dan gula bernilai RM4,000 tiga bulan lalu, seorang peruncit didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Samchah Mohamad, 51, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pemilik syarikat Era Prestij Resources didapati telah menyimpan barang kawalan selain premis dilesenkan oleh Pengawal Bekalan barang berjadual kira-kira pukul 3.30 petang di premis di Melaka Halal Hub, Serkam Fasa 2 dalam daerah Jasin pada 4 Oktober 2021.

Barangan terbabit adalah 140 botol minyak masak lima kilogram jenama Lesong, 216 pek gula pasir kasar satu kilogram jenama CSR, 30 pek tepung gandum satu kilogram jenama Bunga Cempaka dan 60 pek tepung gandum 850 gram Cap Ros.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan baharu sahaja setahun menjalankan perniagaan selain telah membuat permohonan lesen bagi lokasi tersebut tetapi ditolak.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh melibatkan barang keperluan asas.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette