Home Utama PICKids: Faham ibu bapa ambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mendaftar –...

PICKids: Faham ibu bapa ambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mendaftar – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mewajibkan kanak-kanak diberi vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Sebaliknya ia akan dilakukan secara sukarela dan tidak ada sebarang sekatan perjalanan dikenakan kepada kanak-kanak, seperti mana yang dilaksanakan kepada orang dewasa yang tidak menerima vaksin.

Mengambil kira kebimbangan ibu bapa, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan sedia maklum dengan keputusan ibu bapa yang ambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka dengan PICKids.

 “Saya tengok dalam media-media sosial bagaimana umum terutamanya ibu bapa meminta supaya tidak ada sebarang paksaan. Saya beri jaminan.

“Kalau orang dewasa kita tak benarkan masuk kedai makan, pusat beli belah dan sebagainya, untuk kanak-kanak tiada syarat sebegitu sebaliknya diberikan pengecualian kerana hendak pastikan ibu bapa yakin terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah, di sini, hari ini.

Khairy berkata, sebanyak 15 peratus sudah membuat temu janji sejak pendaftaran PICKids dibuka.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, sela masa lapan minggu antara dos pertama dan kedua yang diperuntukkan dalam pemberian vaksin kanak-kanak walaupun mengakui beberapa negara lain peruntuk sela masa pemberian dos primer yang lebih singkat kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Ini kerana pihaknya hendak memastikan dua asas, ujarnya.

“Apa yang kita gunakan di sebalik penentuan lapan minggu ini ialah untuk mengurangkan risiko kesan sampingan selepas imunisasi, sekali gus menambah keyakinan orang ramai khususnya ibu bapa,” ujarnya. – MalaysiaGazette