Home Nasional PICKids: Ibu bapa positif anak-anak terima suntikan vaksin Covid-19

PICKids: Ibu bapa positif anak-anak terima suntikan vaksin Covid-19

Botol suntikan vaksin Covid-19 yang akan diberi kepada kanak-kanak sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak PICKids.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemberian vaksin pada hari pertama Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) mendapat sambutan menggalakan walaupun terdapat dalam golongan ibu bapa bimbang terhadap suntikan yang diberikan kepada anak mereka.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang yang telah membuat temu janji untuk hadir dengan anak mereka menerima vaksin Covid-19, malah ada yang tiba awal walaupun operasi vaksinasi bermula pukul 12 tengah hari.

Kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun akan mula menerima suntikan vaksin dos pertama di hospital pakar dan pusat vaksin bersepadu (integrasi) di Lembah Klang bermula hari ini.

Antara lokasinya termasuk Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Pusat pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PPV Axiata Arena, Bukit Jalil, PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dan Hospital Tunku Azizah.

PICKids disasarkan kepada 4.1 juta kanak-kanak untuk menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19 selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan program tersebut pada 22 Januari lalu.

Antara ahli keluarga yang hadir membawa anak mereka untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak ‘PICKids’ ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

Tinjauan MalaysiaGazette di PPV Axiata Arena mendapati rata-rata ibu bapa sudah mula tiba ke lokasi berkenaan lebih awal, mengikut garis panduan ditetapkan dan pelbagai kemudahan telah disediakan serta tidak sesak.

Pelbagai gelagat boleh disaksikan, ada bakal penerima vaksin menangis melihat picaragari, tidak kurang juga ada asyik bercakap tanpa menghurukan langan akan dicucuk tidak lama lgi.

Kebanyakan mereka yang ditemani ibu bapa atau penjaga kelihatan tenang.

Ketika ditemui wartawan MalaysiaGazette, kebanyakan kanak-kanak itu tahu tentang suntikan vaksin.

Menurut seorang suri rumah, Kah Wai Choo yang berasal dari Cheras, kedua-dua anaknya serta anak-anak abangnya telah mendaftar PICKids.

Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak ‘PICKids’ ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

“Buat apa rasa takut? Ini sangat penting. Bila tahu terus daftar dan datang awal bagi tujuan ini. Kami juga tidak teruja sangat sambut Tahun Baharu Cina tetapi lebih gembira datang ke sini untuk ambil vaksin.

“Kita semua kena ‘open mind’ sedikit. Malah suntikan vaksin ini bukan hanya sekali tetapi beberapa dos setiap seorang, apa boleh buat kalau hendak lindungi diri dan keluarga perlulah sama-sama guna alternatif seperti ini.

“Proses ambil vaksin ini juga tidak menyusahkan dan senang, ini kali pertama kami datang ke PPV ini dan ianya sangat selesa,” katanya.

Tambah beliau, anak-anaknya yang pernah dijangkiti Covid-19 pada tahun lepas tidak berasa takut kerana mereka tahu suntik vaksin membawa kebaikan.

Manakala bapa kepada dua kanak-kanak, Lim Hai Loon pula melahirkan penghargaan dengan usaha kerajaan bagi memerangi Covid-19.

“Sebenarnya negara kita agak bertuah jika kita hendak bandingkan dengan negara-negara lain. Di sini, kanak-kanak kecil juga telah mendapat peluang mengambil vaksin bagi melindungi diri mereka.

“Ketika ini banyak juga jangkitan dalam kalangan kanak-kanak dan ianya sangat menakutkan. Kita orang dewasa sudah suntik dua dos tambah pula dengan dos penggalak, tetapi anak-anak tidak berpeluang,” jelasnya.

Tambahnya, jika ada ibu bapa yang bimbang apakah lagi pilihan yang mereka ada dan oleh itu mereka perlu mengambil peluang yang diberikan itu.

Kata Hai Loon, anak-anaknya tidak takut, sebaliknya teruja untuk mengambil vaksin pada hari ini. – MalaysiaGazette

Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak ‘PICKids’ ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.