Home Nasional Tukang masak dipenjara 3 bulan miliki peluru tanpa kebenaran

Tukang masak dipenjara 3 bulan miliki peluru tanpa kebenaran

Tertuduh, Lukman mengaku bersalah atas enam pertuduhan di Makamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH –  Mahkamah Majistret Butterworth hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang tukang masak selepas didapati bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit pada Januari lalu.

Keputusan itu ditetapkan Majistret M. Kalaiarasi selepas tertuduh, Lukman Abdullah, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor di sini.

Tertuduh didakwa di dua mahkamah berasingan.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Majistret memberi peluang kepada tertuduh membuat pilihan hukuman sama ada mahu didenda atau dipenjara, namun dia memilih untuk dipenjara daripada tarikh tangkapan selain enggan membuat sebarang rayuan lain.

Sementara itu, Lukman turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6 petang pada hari dan tempat sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali.

Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik, manakala dia dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000.

Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas di sini kira-kira jam 1.30 pagi pada 23 Januari lalu.

Lukman didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Mac ini.

Di Mahkamah Sesyen pula, Lukman mengaku bersalah di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus atas pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran serta cubaan membunuh lelaki warga Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 31 Mac ini. – MalaysiaGazette