KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia kekal positif, kedua-duanya meningkat 0.2 peratus pada Disember 2021.\
Jumlah perdagangan Malaysia merekodkan prestasi menaik, meningkat 5.5 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya.
Nilai eksport meningkat 10.4 peratus kepada RM123.8 bilion berbanding November 2021, disumbangkan oleh kenaikan eksport alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+22.4%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+13.2%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.8%).
Sementara itu, nilai import menyusut 0.4 peratus bulan ke bulan pada Disember 2021, dengan nilai RM92.9 bilion, disumbangkan oleh kejatuhan import minyak galian (-25.9%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-20.7%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.4%). Nilai perdagangan pula meningkat 63.6 peratus bulan ke bulan, dengan nilai RM31.0 bilion.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, indeks nilai seunit eksport meningkat 0.2 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+3.4%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.8%) dan bahan kimia (+0.8%).
Indeks volum eksport turut meningkat 10.1 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+21.5%), bahan kimia (+9.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.7%).
Indeks volum eksport pelarasan bermusim bertumbuh 6.0 peratus daripada 162.2 mata kepada 172.0 mata.
Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.8 peratus dan 11.6 peratus.”
Mohd Uzir menambah, indeks nilai seunit import turut meningkat 0.2 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan
indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.0%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).
Sementara itu, indeks volum import menyusut 0.6 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-25.9%), minyak galian (-23.9%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.2%).
Indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2021 menurun 1.0 peratus daripada 168.7 mata kepada 166.8 mata.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 8.4 peratus dan 14.1 peratus. – MalaysiaGazette