Home Nasional KKM teliti semula larangan, pemilikan produk rokok – Khairy

KKM teliti semula larangan, pemilikan produk rokok – Khairy

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk rokok akan diteliti semula dan berharap ia akan dapat mengurangkan jumlah perokok baharu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelaksanaan itu akan dibuat melalui peruntukan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok.

“Dengan itu, KKM (Kementerian Kesihatan) boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak satu pertiga daripada kematian kanser adalah dikaitkan dengan tembakau.

Ujarnya, kos merawat penyakit kanser paru-paru yang diakibatkan oleh merokok pula RM132.7 juta.

“Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit NCD yang lain. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh,” tambahnya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Kanser Sedunia pada hari ini.

Terdahulu Khairy berkata, penyakit kanser dalam negara meningkat sebanyak 115,238 bagi tempoh 2012 hingga 2016.

Jumlah ini katanya, meningkat 11 peratus berbanding tempoh 2007 hingga 2011.

Manakala kematian akibat kanser merupakan punca utama kematian di hospital swasta iaitu 34.95 peratus, manakala kematian keempat bagi fasiliti kesihatan KKM.

Dalam masa yang sama katanya, penyakit itu antara 10 sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17 peratus) dan hospital swasta (5.37 peratus).

Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).

Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus dan 73.0 peratus kanser payudara.

Dalam masa yang sama sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan penyakit kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV).

“Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser,” kata Khairy. -MalaysiaGazette