Home Sukan 330 remaja sertai Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022

330 remaja sertai Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022

Mat Rasid (dua dari kanan) mengesahkan sebanyak 54 kelab badminton seluruh Johor bakal menyertai  Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022.

ISKANDAR PUTERI – Kira-kira 330 peserta mengesahkan penyertaan Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM9,000.

Presiden Persatuan Badminton Johor (JBA), Mat Rasid Jahlil berkata, kejohanan kali ke-10 itu bakal diadakan di Memilih Dewan NS Sport, Gelang Patah pada 10 hingga 13 Februari ini.

“Berdasarkan rekod yang kita ada, seramai 330 peserta telah mengesahkan penyertaan terdiri daripada 54 kelab badminton seluruh negeri Johor.

“Kejohanan kali ini akan melibatkan tiga kategori iaitu bawah 16, 14 dan 12 tahun,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Nor Syazlan Abd. Razak.

Mat Rasid berkata, pada kejohanan itu, pihaknya menyasarkan pemain yang akan mewakili Johor ke peringkat kebangsaan selain persiapan Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Sementara itu, Nor Syazlan berkata, kejohanan itu boleh dijadikan platform untuk melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan badminton.

“Sememangnya kejohanan seumpama ini sangat membantu pemain-pemain muda mempamerkan bakat mereka sekaligus diangkat untuk ke peringkat seterusnya termasuk peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette