Home Nasional Bekalan ayam selalu terputus sejak Januari

Bekalan ayam selalu terputus sejak Januari

Azizah Umar

KUANTAN – Peniaga ayam di Pasar Kuantan terpaksa meneruskan jualan meskipun mendepani masalah kekurangan pendapatan sejak kebelakangan ini ekoran bekalan ayam selalu terputus.

Bagi Azizah Umar, 34, berkata, bekalan ayam terputus sejak awal Januari lalu dan isu itu berlarutan sehingga hari ini serta tidak dapat menampung permintaan pelanggan.

“Kalau kita order (pesan) 200 ekor dapat 100 ekor, kadang-kadang dapat 60 ekor, memang pendapatan terjejas. Kebiasaannya jualan 250 ekor sehari, kalau dapat 150 ekor kita dah rasa bersyukur sangat.

“Ini berkemungkinan sebab kos ladang berkait rapat kawalan harga sekarang, banyak tempat tak boleh ikut skim harga,” jelasnya.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Besar Kuantan mendapati semua peniaga ayam mematuhi harga siling yang ditetapkan iaitu RM8.90 dan RM9.60 bagi ayam siap diproses.

Azizah yang sudah 13 tahun berniaga ayam berharap agar kerajaan terus memperhalusi dan mempertimbangkan nasib peniaga ayam dalam mendepani isu berkenaan.

Suzana Ana Ali, 42 tahun
Ruslina Sulaiman, 54 tahun

Bagi Ruslina Sulaiman, 54, tinggal di Sg Isap terpaksa pergi ke Pasar Besar Kuantan untuk membeli ayam berikutan bekalan yang terhad di kedai berhampiran rumahnya.

“Sebenarnya agak membebankan pengguna bila terdapat stok ayam terhad ini, sebab menyusahkan kena mencari banyak tempat, bazir masa, tenaga dan petrol.

“Ayam susah dapat dapat kemudian harga telur naik, buat persiapan awal beli tiga sarang terus sebelum Tahun Baharu Cina,” katanya.

Sementara itu, Suzana Ana Ali, 42, berkata, senario bekalan ayam dan telur terputus itu merupakan pertama kali dihadapi pada Tahun Baharu Cina.

“Kali pertama raya Cina bekalan terputus, kalau dulu mahal-mahal pun barang ada tapi kali ini barang terus tiada dan sangat menyusahkan,” katanya. – MalaysiaGazette