Home Nasional Kes Covid-19 meningkat, Melaka tidak cadang ketat SOP

Kes Covid-19 meningkat, Melaka tidak cadang ketat SOP

MELAKA – Melaka tidak bercadang menambah syarat dalam prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengekang penularan Covid-19 biarpun negara menyaksikan peningkatan kes jangkitan virus itu pada hari ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau melihat tiada keperluan itu yang hanya akan menyusahkan pelancong dan pemain industri pelancongan negeri.

“Saya lihat SOP sedia ada dah bagus, pelaksanaan sahajalah. Macam kita cakap we serve with the smile pelancong-pelancong, kita tak nak berkeras.

“Macam mana you (rakyat) nak happy kalau datang ke Melaka kita nak berkeras (SOP ketat) tak boleh juga, tapi kena laksana juga (SOP) gunalah kebijaksanaan sendiri.

“Saya tak nak tambah bilangan SOP yang akan memberatkan peniaga yang akhirnya akan beri kesan kerana yang dah ada ni dah efektif cuma pelaksanaan dan kawal selia kena pastikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Kopi Melaka di pusat beli belah The Shore Shopping Gallery di sini hari ini.

Kes harian positif Covid-19 yang terus meningkat dengan 9,117 kes hari ini, tertinggi direkodkan sejak 8 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, pelancong juga perlu memainkan peranan supaya tidak leka mematuhi SOP selain pemain industri yang perlu lebih banyak mendapat pensijilan patuh SOP dikeluarkan kerajaan negeri.

“Sasaran kita sebenarnya menjelang suku pertama tahun ini 434 premis termasuk hotel dan pusat beli belah mendapat sijil patuh SOP ini yang mana sekarang ini baharu sekitar 100 lebih,” katanya. – MalaysiaGazette