KUALA LUMPUR – Perang mulut antara dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaikan tiada penghujungnya.
Terbaharu, Najib dalam entri Facebooknya membidas Muhyiddin dengan berkata, tanpa sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN), tidak mungkin Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Tanpa kami, dia tak rasa jadi PM selama 17 bulan. Itu fakta.
“Sekarang kami tak sokong dia dan tidak mahu berpakat dengan dia, barulah dia kata dia malu, kami ada masalah moral dan tidak mahu dikaitkan dengan kami,” katanya hari ini.
Najib berkata demikian membidas kenyataan Muhyiddin yang menyatakan Najib sepatutnya muhasabah diri, dan ada rasa malu sedikit kerana didapati bersalah di mahkamah.
“Saya fikir Datuk Seri Najib elok ambil masa muhasabah diri. Tak usahlah bermain politik jelik. Anda telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah yang berat. Sepatutnya ada sedikit rasa malu.
“Dalam Islam, malu itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi malangnya dalam UMNO, seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang disifatkan sebagai ‘national embarrassment’ oleh mahkamah diangkat sebagai boss dan dilaungkan slogan ‘malu apa bossku’,” kata Muhyiddin pada Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Najib berkata, Muhyiddin langsung tidak meluahkan perasaan malu ketika beliau mendapat sokongan UMNO-BN untuk menjadi Perdana Menteri kelapan sebelum ini.
“Pelik. Masa kami sokong dia supaya dia boleh jadi PM8, takde pun dia malu atau kata kami ada masalah moral dan dia tidak mahu dikaitkan dengan kami masa itu,” katanya lagi.
Najib sebelum ini mencabar Muhyiddin agar ‘tekan butang’ supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan pimpinannya jatuh.
Mantan Perdana Menteri itu menegaskan, Bersatu tidak perlu mengugut atau menakut-nakutkan Ismail Sabri, sebaliknya terus sahaja menarik sokongan itu. – MalaysiaGazette