Home Nasional Umur 18, masih belum boleh buat keputusan untuk negara – Penganalisis

Umur 18, masih belum boleh buat keputusan untuk negara – Penganalisis

Temubual ekslusif SkopMG bersama Penganalisis Pilihan Raya dan Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi, Dr. G Manimaran mengenai PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kematangan umur dan pengalaman adalah dua faktor penting dalam membuat sebarang keputusan lebih-lebih lagi untuk negara, demikian menurut penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran.

Beliau berkata, usia 18 masih berada di peringkat awal kehidupan dan masih sukar membuat keputusan.

“Umur begini, kalau di Malaysia baru ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Memang ada di luar negara yang sudah mengundi pada usia 16 tahun, tetapi untuk kita, ia masih terlalu baharu dan tidak ada pendidikan khusus berkaitan pilihan raya diberikan kepada golongan ini.

“Kematangan seseorang juga bergantung kepada cara mereka dibesarkan. Apakah mereka sebelum ini didedahkan untuk membuat keputusan sama ada di sekolah atau di rumah?

“Mereka sekarang berada di dalam gelanggang baharu untuk menentukan masa depan negara,” katanya ketika menjadi panel program SOKP MG malam tadi dengan tajuk ‘PRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu?’

Beliau berkata, Malaysia yang sudah lebih 60 tahun merdeka mempunyai sistem demokrasi yang kompleks dan sukar untuk golongan ini menjadi sebahagian penentunya.

“Daripada segi keputusan, usia itu belum cukup dan belum boleh buat keputusan untuk negara.

“Ini gelanggang baharu buat mereka, dulu mereka rasakan paling sukar adalah ketika menjalani ujian untuk ambil lesen kenderaan, sekarang in pula nak buat keputusan masa depan negara, ia bukan mudah,” katanya.

Penganalisis Pilihan Raya Dr G Manimaran ketika menjadi panel program SKOP MG yang dihoskan Haslina AR Kamaludin menjawab persoalan mengenai Undi 18 Jadfi Penentu di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 FEBRUARI 2022.

Jelasnya, golongan berusia 18 tahun ini perlu disedarkan dalam bentuk pendidikan pilihan raya.

“Demokrasi dan politik diiringi dengan perubahan sistem. Kita ada sistem, udang-undang di bawah perlembagaan negeri dan persekutuan.

“Tetapi apakah kita sudah sediakan cukup pendidikan ini?

“Ia seperti membesarkan anak yang perlu diberi makan, susu dan vitamin. Semua itu kita berikan agar anak kita sihat dan membesar dengan baik.

“Perkara sama perlu dibuat kepada pengundi baharu yang berusia 18 tahun ini,” katanya.

Manimaran menjelaskan, masih ada ruang dan masa untuk pendidikan pilihan raya ini diadakan.

“Berbaki sebulan untuk mereka membuang undi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Semua pihak boleh berganding bahu untuk melaksanakan pendidikan ini.

“Mereka perlu didedahkan dengan apa itu pilihan raya, jika tidak, sia-sia diberikan peluang untuk mengundi, tetapi golongan ini tidak tahu apa yang mereka lakukan, sedangkan masih ramai mereka yang berusia lebih 40 tahun juga tidak matang, inikan pula mereka” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September tahun lalu memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember 2021.

Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa meminda Perlembagaan Persekutuan (Perkara 119) berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Seksyen 3 ini menyatakan bahawa umur mengundi diturunkan dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi. – MalaysiaGazette