Home Nasional Sikap ‘setia’ peniaga pada satu pemborong punca ayam kurang

Sikap ‘setia’ peniaga pada satu pemborong punca ayam kurang

Norena Jaafar. Gambar Bernama

MELAKA – Sikap ‘setia’ segelintir peniaga ayam yang meneruskan kebiasaan mendapatkan bekalan daripada hanya satu pemborong didakwa punca berlaku kekurangan stok ayam di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, isu kekurangan bekalan ayam di Melaka adalah kes terpencil kerana hanya berlaku di Pasar Awam Melaka di Bachang.

Menurutnya, pemeriksaan anggota dan pegawainya di pasar berkenaan semalam mendapati, kekurangan bekalan berpunca daripada peniaga yang hanya mendapatkan bekalan daripada seorang pemborong.

“Semalam kita sudah periksa di lebih 50 pasar, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri termasuk di Jasin dan Alor Gajah tak berlaku pun peniaga kurang dapat bekalan ayam.

“Semua tempat tiada masalah bekalan ayam kecuali di Pasar Awam Melaka di Bachang, sebab peniaga mereka tak pelbagaikan pembekal.

“Mereka sudah terlalu setia atau terbiasa hanya beli dari satu pemborong kerana tidak mahu beralih dari cara lama,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan pengurangan harga maksimum runcit ayam standard sebanyak 20 sen sekilogram bermula semalam menyaksikan bekalan ayam di pasar awam Melaka licin seawal jam 9 pagi.

Tinjauan mendapati, peniaga dan pemborong mendakwa bekalan yang diterima berkurangan sehingga hampir 40 peratus berbanding sebelum ini menyebabkan stok ayam tidak mencukupi.

Mengulas lanjut Norena berkata, pemeriksaan semalam juga mendapati, bukan sahaja bekalan mencukupi, malah peniaga juga patuh dengan arahan kerajaan menjualnya pada harga RM8.90 sekilogram.

“Inilah dilema dan cabaran yang kita terpaksa hadapi bila minta mereka (pelbagaikan) pemborong, banyak alasan yang diberikan.

“KPDNHEP hanya boleh beri saranan dan nasihat, selebihnya merekalah uang kena ambil tindakan untuk memastikan kelangsungan bekalan ini,” katanya.- MalaysiaGazette