Home Nasional Ular sawa batik 150 kilogram gemparkan penduduk

Ular sawa batik 150 kilogram gemparkan penduduk

MELAKA – Beberapa penduduk Kampung Bukit Piatu di sini gempar dengan penemuan sepasang ular sawa batik termasuk ular betina seberat 150 kilogram di kawasan belukar di sini hari ini.

Pemandu jengkaut, Ramli Ab Wahab, 42, berkata, penemuan itu sekaligus menjawab misteri kehilangan ternakan penduduk kampung sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 10.45 pagi tadi ketika dia mengambil upah membersihkan kawasan semak tanah milik persendirian itu menggunakan jengkaut JCB.

“Selepas hampir dua jam membersihkan kawasan sekitar pukul 10.45 pagi, saya terkejut apabila terlihat kelibat ular sawa di celah semak depan jengkaut yang begitu besar dan tidak pernah dijumpai selama 17 tahun saya membawa JCB.

“Ular terbabit juga bertindak agresif dan pada masa sama saya melihat seekor lagi ular sawa batik menyelusuri ke kawasan semak yang belum dibersihkan.

“Seram dan takut juga melihat ular sawa itu terutama bila teringat aduan penduduk banyak ternakan mereka hilang yang mana ia mungkin dimakan ular sawa terbabit,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Abdillah Hamid berkata, satu jentera dari Balai Bomba Bukit katil dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.50 tengah hari.

“Sebaik tiba, melihat seekor ular sawa batik betina anggaran seberat 150 kilogram dan 15 kaki atau 4.5 meter panjang berada berhampiran JCB sebelum bomba terpaksa mengambil masa 15 minit untuk menangkapnya menggunakan peralatan khas.

“Seekor lagi ular sawa batik jantan anggaran berat tujuh kilogram dan 2.7 meter panjang berjaya ditangkap di kawasan semak menggunakan JCB pada jam 1.30 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurut beliau, kawasan semak terbabit dipercayai sudah lama menjadi habitat ular kerana bomba kerap menerima aduan penduduk mengenai kehadiaran reptilia itu.

“Kedua-dua reptilia ini akan disimpan sementara sebelum akan diserahkan ke pihak Zoo Melaka dalam waktu terdekat,” katanya.- MalaysiaGazette