KUANTAN – Seramai 30 kanak-kanak menjadi kumpulan pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Pahang yang bermula hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, buat permulaan pihaknya menyasarkan kumpulan kanak-kanak komorbid yang layak mendapatkan vaksin.
PICKids diadakan di di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, selain Hospital Pekan yang turut beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) bermula hari ini.
“PICKids Pahang melibatkan 11 SPPV secara keseluruhan dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula hari ini
Selain itu 60 klinik kesihatan dan 7 PPV offsite turut dijadikan Pusat Pemberian vaksin bagi PICKids di negeri ini.
Sementara itu, bagi Muhammad Arkid Farhan Faruki,12, berkata, dia akur apabila dinasihatkan untuk mengambil vaksin oleh ibunya.
Arkid yang bersekolah di SK St. Thomas Kuantan mengaku pada mulanya dia takut untuk mengambil vaksin.
“Ibu suruh vaksin, saya separuh takut tapi cuba beranikan diri.
“Saya juga ajak kawan-kawan sama-sama ambil vaksin, kita nak hapuskan Covid-19,” katanya ketika ditemui di ruang pemerhatian di HTAA.
Insanul Haq Jamaludin, 11, pula berkata, dia sendiri sukarela untuk mengambil vaksin dan mendapat sokongan daripada kedua-dua abangnya.
“Memang sendiri nak ambil vaksin, sebab nak elak daripada jangkitan Covid-19, jadi rasa selamat nak pergi sekolah.
“Saya tidak berasa takut ambil vaksin sebab pernah ambil suntikan BCG,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Insanul ditemani bapanya, Jamaludin Mat menyifatkan vaksin sebagai langkah pencegahan jangkitan dan beliau perlu memastikan keselamatan keluarga terjamin.
“Sebagai bapa, saya bertanggungjawa menjaga keselamatan dan kesihatan anak dan apabila ditawarkan ambil vaksin, saya gembira.
“Ini sebagai langkah awal pencegahan supaya anak boleh terlibat dalam aktiviti dan bersekolah macam biasa. – MalaysiaGazette