KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dengan pendirian tidak akan menarik sokongan kepada kerajaan sekarang walaupun bakal berdepan sekali lagi dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu dibuat kerana memikirkan kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan, ini kerana situasi semasa Covid-19 masih meruncing dan rakyat bergelut untuk membina semula kehidupan mereka.
“Bersatu fikir kepentingan rakyat dan negara supaya rakyat tak terkorban disebabkan langkah bodoh kita dan hanya fikir kepentingan parti.
“Nanti rakyat akan cakap apa yang cuba anda lakukan? Fasal push button (tekan butang), tarik sokongan ini, adakah wajar? Hanya untuk kepentingan saya atau parti tertentu sahaja?
“Kerana rakyat akan fikir apalah sikap ahli politik ini yang asyik fikirkan soal kuasa sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar (MPDP) Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di sini hari ini.
Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga mahu kelonggaran untuk berkempen di sebalik penularan varian Omricon.
Jelas beliau, pengundi perlu menilai kemampuan calon apatah lagi jika ia membabitkan calon dan parti baharu yang bertanding.
“Seperti di PRN Melaka, ada pengundi yang tidak mengenali calon mereka kerana tidak boleh berkempen dan hanya dibenarkan pertemuan di restoran,” katanya. – MalaysiaGazette