Home Nasional Covid-19: Pesakit tiada gejala tak perlu pergi CAC

Covid-19: Pesakit tiada gejala tak perlu pergi CAC

Khairy
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Para pesakit Covid-19 yang terdiri dalam kategori satu yang tiada gejala, bergejala ringan dan tidak berisiko tinggi tidak perlu pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun mereka perlu melakukan pemantauan kendiri setiap hari melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Perkhidmatan mesej ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan automated voice recording (robocall) akan dihantar sekiranya anda tidak menjalankan pemantauan kendiri melalui MySejahtera,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, semua klinik kesihatan (KK) di seluruh negara diaktifkan semula supaya bersiapsiaga untuk menerima kedatangan pesakit yang tinggi.

Katanya, terdapat 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di KK dan di komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif Covid-19 setakat hari ini.

Selain itu, pejabat kesihatan daerah (PKD) akan sentiasa mengenal pasti KK dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes Covid-19 jika terdapat keperluan.

Katanya lagi, KKM turut menyarankan fasiliti kesihatan swasta untuk bertindak sebagai CAC swasta.

“CAC berfungsi bagi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

“Selain itu, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital serta menjalankan penilaian dan pelepasan bagi kes positif yang tamat tempoh pengasingan,” katanya. – MalaysiaGazette