KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, RRTF adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan.
“Antara tindakan awalan pantas berkenaan ialah menambah dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.
“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya pada sidang media hari ini.
Selain itu, Khairy berkata, KKM bersiap sedia dengan 120 hospital, sembilan hospital penuh Covid-19 dan 111 hospital hibrid serta 43 Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 katil setakat semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKM kini dalam proses membangunkan Covid-19 Clinical Care Pathway, bertujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberi kepada pesakit Covid-19 berisiko tinggi.
Katanya, pemberian ubat antiviral itu akan dibuat pada peringkat lebih awal ketika pesakit terbabit bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk. – MalaysiaGazette