Home Nasional Lelaki meninggal dunia ketika mendaki bukit

Lelaki meninggal dunia ketika mendaki bukit

Anggota bomba menggunakan pengusung untuk membawa mangsa turun dari kawasan bukit.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit berhampiran Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini, semalam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Safry Romli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.10 petang yang memaklumkan mangsa berusia 54 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan mangsa dari Sungai Ara, Bayan Lepas, melakukan aktiviti berkenaan bersama kira-kira 10 rakannya.

Katanya, sepasukan lima anggota kemudian mendaki kira-kira 20 minit iaitu sejauh 450 meter ke lokasi mangsa ditemukan pengsan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati mangsa tidak sedarkan diri pada ketinggian 200 meter bukit berkenaan.

“Pasukan penyelamat memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) selama 30 minit kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Safry berkata, anggota bomba menurunkan mangsa ke kaki bukit menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan kes diserahkan kepada pihak polis,” kata beliau. – MalaysiaGazette