GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengarahkan jurutera yang mengendalikan projek Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini mengemukakan penjelasan terperinci berhubung insiden air bertakung di bahagian hujung jejantas menghala ke Jalan Tun Sardon pada Sabtu lalu.
MBPP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kesal atas kejadian tersebut memandangkan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Siasatan awal menunjukkan takungan berlaku disebabkan sampah sarap dan daun-daun kering yang menghalang laluan air mengalir ke sistem perparitan sedia ada.
“MBPP kesal dengan kejadian yang berlaku kerana insiden sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan jurutera yang terbabit dalam projek itu sudah diminta untuk mengemukakan penjelasan terperinci berhubung kejadian berkenaan,” katanya hari ini.
Kelmarin, orang ramai dikejutkan dengan insiden takungan air Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini selepas satu rakaman video menunjukkan dua kenderaan terperangkap tular di media sosial.
Tambah MBPP, pihaknya turut mempelawa pakar-pakar dari The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) cawangan negeri itu untuk bekerjasama dengan jurutera MBPP bagi mengenal pasti punca utama kejadian terutamanya dari aspek teknikal bagi menangani insiden itu.
Selain itu katanya, MBPP juga akan mengadakan rondaan berkala serta membuat pemantauan melalui kamera litar tertutup di Intelligent Center MBPP.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas orang awam yang berhenti di bahu jalan dan mereka yang membuang sampah di merata-rata sepanjang Jalan Berkembar Bukit Kukus.
“MBPP berharap orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan keselamatan di kawasan tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) itu di buka kepada orang ramai pada 13 Januari lalu dan menjadi jalan raya tertinggi di Malaysia. – MalaysiaGazette