SHAH ALAM – Seorang pembantu kedai dobi mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdayakan seorang kontraktor untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 bagi mendapatkan projek melibatkan kejuruteraan dan pembinaan Petronas Gas Berhad.
Herisyam Abdul Wahid, 48 tahun didakwa melakukan perkara itu terhadap Mohd Hafidz Mod Ismail pada April 2018.
Dia kononnya mendakwa boleh memberikan Mohd Hafidz projek Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) for PGU-1 Pipeline Replacement in Terengganu Malaysia (Graphite).
Beliau melakukan kesalahan di bawah seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, Herisyam berhadapan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau dengan kedua-duanya.
Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 kepada Herisyam.
Beliau turut diarahkan melaporkan diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan.
Terdahulu, tertuduh dimaklumkan mempunyai empat lagi tuduhan yang bakal dibicarakan di Mahkamah Kuala Lumpur.
Justeru itu pasukan Pendakwa Raya memohon kes pada hari ini dipindahkan ke Mahkamah KL.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 12 Febuari sebagai tarikh sebutan semula kes. -MalaysiaGazette