Home Utama Peningkatan kes Omicron memang dijangka – KJ

Peningkatan kes Omicron memang dijangka – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes positif Covid-19 bukanlah sesuatu yang diluar jangka disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memaklumkan kemunculan varian baharu itu akan menyaksikan berlakunya peningkatan kes harian Covid-19 dalam negara.

Katanya, bermula 6 Februari lalu, Malaysia kembali mencatatkan jumlah kes positif melebihi 10,000 kes.

“Jumlah kes pada Minggu Epid 4 (23 hingga 29 Januari 2022) adalah 31,980 kes manakala, pada Minggu Epid 5 (30 Januari hingga5 Februari 2022 adalah 43,062 kes iaitu peningkatan sebanyak 34.7 peratus.

“Kebanyakan kes juga adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal satu dan dua.

“Daripada jumlah kes pada Minggu Epid 5, sebanyak 42,727 (99.2 peratus) adalah kategori satu dan dua dan hanya 335 (0.8 peratus) adalah kategori tiga hingga lima,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun Khairy berkata, apabila jumlah kes keseluruhan meningkat, bilangan kes mengikut kategori juga meningkat iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus bagi kes kategori satu dan dua pada Minggu Epid 5 berbanding Minggu Epid 4 dan peningkatan 17 peratus bagi kes kategori tiga hingga lima.

Jelasnya, pada Minggu Epid 5, jumah kes kematian akibat Covid-19 adalah 68 kes, iaitu penurunan sebanyak 8.1 peratus berbanding Minggu Epid 4.

Manakala bilangan kes Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 91 kes, pengurangan 17 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Khairy berkata, pada Minggu Epid 5, terdapat 89 kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti dengan 353 kluster aktif.

Daripada 89 kluster baharu itu, 52 adalah kluster pendidikan, 20 kluster tempat kerja,kluster komuniti (tujuh), kluster dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (enam), kluster pusat tahanan (tiga) dan satu kluster keagamaan.

Tambahnya, pada masa ini kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan.

“Setakat 6 Februari 2022, KKM bersiap sedia dengan 120 Hospital Covid-19, sembilan hospital penuh Covid-19, 111 hospital hibrid, 43 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah PKRC dengan kapasiti 10,810 buah katil,” Jelasnya. – MalaysiaGazette