Home Politik Sebutlah gelaran apa pun, tindak tanduk Wan Saiful mudah dibaca

Sebutlah gelaran apa pun, tindak tanduk Wan Saiful mudah dibaca

Shamsul Anuar Nasarah

 

KUALA LUMPUR – Tindak tanduk Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berterusan memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan gelaran ‘Kluster Mahkamah’ dan terbaharu ‘Kluster Soleh” mudah dibaca.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu hanya mahu memecahbelah dan memburukkan UMNO dan BN.

”Sebutlah apa pun gelaran yang Bersatu suka, UMNO dan BN kekal fokus memperkukuhkan parti dan bekerja kuat memenangi hati rakyat bagi memastikan BN dan UMNO mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan BN yang stabil di Johor demi rakyat Johor,” tegas Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful yang mengiktiraf kewujudan kumpulan yang baik ini dalam UMNO kerana mereka mempunyai sikap berbeza daripada kluster mahkamah.

”Saya tak tahu apa nak panggil golongan ini. Kita katalah mereka ini “UMNO soleh”.
Ada beberapa tokoh “UMNO soleh” menghubungi saya menyatakan bahawa mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan UMNO dari landasan yang salah. Jadi mereka cadangkan saya tidak menyerang UMNO sebab mereka sedang buat kerja dari dalam.
”Masalahnya ialah “UMNO soleh” ini diam membisu membenarkan kluster mahkamah menunggang UMNO untuk melanggar semua orang lain,” kata Wan Saiful dalam hantaran di Facebook.
Mengulas kenyataan itu, Shamsul Anuar berkata, satu jari Ketua Penerangan PPBM menuding kepada UMNO, ada empat jari lain menuding kepada parti itu sendiri.

Oleh kerana itu, ada pelbagai kluster dalam PPBM.

”Justeru itu jangan ingat rakyat bodoh dan tidak tahu. UMNO BN sangat yakin rakyat bijak menilai,” ujarnya. – MalaysiaGazette