Home Utama SPRM mula siasat MARA, sudah empat jam teliti dokumen

SPRM mula siasat MARA, sudah empat jam teliti dokumen

sprm

KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini susulan beberapa siri pendedahan di media sosial.

MalaysiaGazette difahamkan hari ini, beberapa pegawai dipercayai telah datang di pejabat  MARA pagi ini bagi mengambil beberapa dokumen berhubung dakwaan salah guna kuasa untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, beberapa anggota penyiasat SPRM yang berpakaian biasa tiba di bangunan MARA sekitar jam 10.20 pagi tadi telah mengejutkan warga MARA.

Sehingga berita ini ditulis pada jam 1.40 petang, pegawai-pegawai SPRM masih lagi berada di bilik mesyuarat.

“Kami memang terkejut sebenarnya, semua masih lagi di sini sedang teliti dokumen penting. Kami tidak tahu apa-apa maklumat lain kerana tidak dimaklumkan apa-apa tentang ini,” katanya ringkas.

Pegawai-pegawai SPRM itu dikatakan sedang meneliti beberapa dokumen.

Dokumen-dokumen tersebut dipercayai akan diteliti terlebih dahulu sebelum memanggil beberapa saksi untuk memberikan keterangan berkaitan dakwaan membabitkan agensi itu.

Beberapa hari lepas, ada pendedahan mengejutkan mengenai salah guna kuasa itu dibuat satu pemilik akaun Twitter menerusi ciapan bersama lampiran enam helai surat berhubung integriti pegawai MARA.

Bagaimanapun, Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, menafikan berlaku salah guna kuasa atau urus tadbir dalam agensi itu dan anak syarikatnya seperti didakwa menerusi satu dokumen yang tular di media sosial.

Namun Azizah berkata, MARA tidak memandang ringan dakwaan itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu terbabit dalam salah guna kuasa atau tidak berintegriti.

Susulan daripada pendedahan tersebut itu juga, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan akan dimulakan Isnin ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation (MARA Corp).

“SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

“SPRM telah menerima satu aduan berkaitan isu ini dan akan memulakan siasatan pada 7 Februari 2022 dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,” kata suruhanjaya berkenaan. – MalaysiaGazette