“JANGAN meletakkan sebarangan harapan kepada golongan Undi 18 untuk setia kepada mana-mana parti politik”.
“Selagi mereka tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti, undi mereka layak diletakkan dalam kategori pengundi atas pagar. Malah jika pun mereka telah berdaftar dengan mana-mana parti, undi mereka tidak semestinya pergi kepada parti yang mereka anggotai”.
Begitulah pandangan banyak pihak terhadap golongan Undi 18. Namun adakah pandangan ini benar dan wajar?
Banyak pilihan parti
Menurut Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Jamaie Hamil, wujudnya pelbagai parti membuatkan anak muda mempunyai banyak pilihan.
Mengenai kesetiaan terhadap parti, keraguan tidak sepatutnya ditujukan kepada Undi 18 sahaja.
“Bukan sahaja berusia 21 tahun, pengundi yang sudah matang umur 45, 50 dan sebagainya itu kalau mereka tidak dapat apa yang mereka hendak, mereka mungkin akan protes pada pilihan raya akan datang.
“Misalnya Pakatan Harapan, mereka jadi Kerajaan banyak elaun yang diberi oleh kerajaan BN dahulu dipotong. Bila dipotong, mereka merasakan dulu mereka dapat banyak ini, tapi bila PH mereka tidak dapat banyak itu, jadi mereka protes dalam pilihan raya.
“Begitu juga anak muda. Anak muda ini tidak nampak kesetiaan jadi kalau mereka rasakan tidak dapat dalam Bersatu, mereka lompat ke Amanah, tak dapat dalam Amanah dia akan lompat dalam PKR, tak dapat dalam PKR dia masuk pula dalam DAP,” katanya.
Setia kepada parti yang menyokong kehendak golongan muda
Semua pihak harus bersetuju bahawa golongan muda hanya akan menyokong parti yang memihak kepada perjuangan dan kehendak golongan itu.
Strategi kononnya meletakkan calon muda boleh mendapat sokongan Undi 18 atau golongan muda hanyalah mitos.
Mahasiswa Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammad Syahmi Shamsudin memberi contoh pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan Melaka membuktikan meletakkan calon muda tidaklah menjanjikan orang muda akan menyokong satu-satu parti.
Di Sabah PBRS meletakkan Yillson Yanggun, 23 dan di Melaka PKR meletakkan mahasiswa Farzana Hayani Mohd. Nasir, 21. Kedua-keduanya tewas.
“Kita perlu bersetuju bahawa anak muda akan memihak kepada parti yang menyokong perjuangan, suara mereka sendiri.
“Sebab kalau kita melihat sendiri telahpun terbukti bagaimana kita lihat calon kita sendiri pun, calon itu muda, tetapi calon itu tidak ada kredibiliti. Dia akan kalah.
“Di Sabah, Yillson Yanggun, Farzana Hayani di Melaka, mereka tidak menjadi wow faktor, apa yang menjadi wow faktor kepada anak muda untuk mengundi itu adalah kredibiliti,” kata Muhammad Syahmi.
Pendapat beliau turut dikongsi oleh rakannya, Sharifah Umairah Syed Mustafa yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menurut Sharifah Umairah, golongan Undi 18 tidak lahir dalam generasi merdeka yang akan sentiasa menyokong UMNO atau lahir dalam zaman 1999 yang akan sentiasa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka lahir dalam keadaan politik yang tidak stabil. Jadi mereka akan melihat kepada mana yang akan memberikan janji kepada mereka, mana yang boleh memberikan satu perubahan ataupun mendengar isi hati mereka.
“Bagi saya itulah juga yang lebih baik. Sebab golongan yang tidak setiap pada parti ini kita panggil sebagai golongan atas pagar.
“Pengundi atas pagar ini bila mana mereka banyak dalam satu pengundian, ataupun pilihan raya, mereka akan jadi cabaran kepada parti-parti untuk meraih undi mereka. Jadi disebabkan mereka ini sukar, lebih mencabar parti-parti politik ini akan mendengar apa yang mereka hendak,” katanya.
Parti Muda dapat sokongan?
Adakah parti yang pemimpin dan ahlinya golongan muda seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mendapat sokogan padu golongan Undi 18? Tidak juga.
“Bagi saya untuk kita lihat Syed Saddiq sebagai faktor utama untuk mengembeling semua undi mengundi muda itu susah, sebab kritikan saya kepada Syed Saddiq adalah, dia seorang pemimpin yang bersifat populis. Dia bersifat situational. Dia muncul pada ketika berlakunya isu.
“Kalau kita melihat kepada pemimpin seperti ini, dia mungkin akan berjaya mempengaruhi satu sahaja kumpulan masyarakat iaitu orang-orang yang taksub kepada dia. Tetapi kalau orang-orang yang melihat kepada isu yang lebih daripada itu. Mereka perlu fikir dua kali.
“Ya, dia minat dengan idea Syed Saddiq, minat dengan idea parti Muda. Tetapi adakah parti Muda itu relevan, adakah parti Muda itu mampu untuk membawa satu perubahan yang besar. Jadi saya rasa untuk meletakkan Muda sebagai satu faktor parti yang boleh menangkan anak muda, saya rasa tidak boleh,” kata Muhammad Syahmi.
Cabaran kepada parti politik
Dalam melebarkan pengaruh terhadap Undi 18, parti-parti politik disarankan untuk tidak menyemai politik kebencian.
Golongan Undi 18, menurut Exco Puteri UMNO Malaysia Dr. Masliha Harun, perlu dididik, diasuh dan diajar mengenai politik dan dasar negara demi kemakmuran Malaysia.
“Kita tidak hendak politik kebencian, dendam. Untuk anak muda ini kita ingin semua parti mewujudkan persekitaran yang aman dan sihat dalam berpolitik.
“Jadikan PRU-15 sebagai tempat mencari titik persamaan untuk semua parti politik. Jangan wujudkan politik kebencian. Wujudkan politik yang sihat, supaya anak muda boleh memilih dan mereka boleh lihat sewajarnya parti mana yang memperjuangkan kepentingan mereka.
“Jadi saya rasa kita patut terbuka kepada anak muda dan saya harap kita akan mewujudkan satu persekitan yang harmoni untuk capai negara yang stabil dan semakin makmur,” katanya.
Kesimpulannya, menjadi satu cabaran kepada semua parti politik yang bertanding untuk merebut Undi 18. Golongan ini tidak memihak kepada mana-mana parti.
Kuasa mereka seharusnya digeruni. Satu undi mereka, boleh menentukan parti mana menjadi Kerajaan dan siapa menjadi perdana menteri.
Artikel ini adalah bahagian terakhir daripada empat siri rencana berkaitan Undi 18.- MalaysiaGazette.