MELAKA – Seorang lelaki maut manakala dua ahli keluarganya cedera termasuk seorang parah selepas kereta yang dinaiki mereka melanggar penghadang jalan sebelum dirempuh sebuah lori kurier di Kilometer 215.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa yang juga pemandu kereta jenis Proton Wira, Nor Azli Abdul Fattah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Abangnya berusia 33 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan cedera di kepala manala isterinya berusia 25 tahun yang duduk di belakang cedera di bahu manakala anak lelakinya berusia dua tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Bandar Sunway, Selangor ke kampung isteri mangsa di Batu Pahat, Johor.
“Sebaik tiba dilokasi, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang kiri jalan menyebabkannya berpusing beberapa kali.
“Pada masa sama, sebuah lori kurier yang berada di lorong kiri lebuhraya tidak sempat mengelak dan mengheret kenderaan itu ke lorong sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Arshad, akibat kemalangan itu, pemandu kereta maut di tempat kejadian manakala abangnya dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah selain isterinya dirawat di zon kuning.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette