Home Utama Dos penggalak wajib untuk jemaah umrah bermula 14 Febuari ini

Dos penggalak wajib untuk jemaah umrah bermula 14 Febuari ini

Penangguhan sementara perjalanan umrah akibat penularan Omicron Januari lepas melibatkan kira-kira 19,000 bakal jemaah, namun impak mereka yang menanggung kerugian adalah minimum.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bermula 14 Febuari ini, jemaah umrah diwajibkan untuk mengambil dos penggalak sebelum membuat perjalanan ke Tanah Suci. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jemaah umrah juga akan dibenarkan menjalani kuarantin di kediaman sendiri setibanya di tanah air.

Dalam  masa yang sama katanya,  jemaah umrah boleh menjalani kuarantin di pusat kuarantin swasta namun perlu menanggung sendiri kosnya.

“Sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi aktiviti umrah.

“Person incharge (PIC) dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di PMA Malaysia kena turut serta dengan jemaah sekiranya melebihi 40 orang atau disediakan bagi setiap tempoh tersebut untuk jumlah jemaah kurang dari 40 orang,” katanya ketika sidang media, selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

Bagaimanapun jelas Hishammuddin, jemaah umrah yang berangkat pada hari ini masih perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelumnya.

“Untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada. Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang telah dikuatkuasakan,” tambahnya.

Kerajaan juga membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah bermula hari ini selepas menangguhkan sementara kebenaran perjalanan itu pada 8 Januari lalu.- MalaysiaGazette