Home Ekonomi Eksport sawit RM102 bilion tahun lalu

Eksport sawit RM102 bilion tahun lalu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport minyak sawit menyumbang kepada RM102 bilion hasil tahun lepas, peningkatan 40 peratus daripada RM73 bilion pada 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, India mengekalkan kedudukannya sebagai pengimport nombor satu minyak sawit Malaysia dengan lebih 3.5 juta tan.

Selain India, negara China, Belanda, Turki, Pakistan dan Filipina turut mengimport minyak sawit Malaysia.

Iran pula merupakan lapan pengimport utama minyak sawit Malaysia pada 2021, dengan peningkatan 26 peratus daripada 321,106 tan metrik pada 2020 kepada 404,320 tan metrik pada tahun lepas.

“Minyak sawit Malaysia menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global dan 31 peratus daripada eksport dunia pada 2021,” katanya ketika berucap pada ahli industri minyak sayuran di Hotel Parsian Azadi, Tehran sempena Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS).

POTS Malaysia-Iran 2022 adalah siri ke-60 sejak diperkenalkan pada 2006 dan dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan sokongan daripada Persatuan Industri Minyak Sayur Iran (IVOIA).

Bagaimanapun, tambah beliau, industri sawit negara masih berdepan dengan halangan bukan tarif termasuk akses pasaran, amalan perdagangan yang diskriminasi dan persepsi negatif meskipun minyak sawit menawarkan kelebihan daya saing yang lebih baik berbanding minyak makan lain.

“Kami akan meneruskan usaha kami untuk menyebarkan fakta dan maklumat tepat bagi menentang kempen anti-kelapa sawit oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyangkal dakwaan penebangan hutan yang dikaitkan dengan industri minyak sawit Malaysia,” kata Zuraida.

Mengenai peluang untuk sektor swasta antara Iran dan Malaysia, Zuraida menggesa kedua-dua pihak untuk mentakrifkan semula pendekatan perniagaan bagi membentuk perkongsian dan pakatan strategik untuk meneroka jalan baharu untuk mengembangkan perniagaan minyak makan dan minyak sawit di Iran.

“Saya optimistik dengan prospek dalam industri minyak dan lelemak global. Pembukaan semula sektor ekonomi global berikutan pandemik Covid-19 telah menyebabkan permintaan kukuh untuk minyak sawit Malaysia, termasuk di Iran,” tambah beliau. – MalaysiaGazette