Home Sukan FAM senarai pendek dua calon jurulatih – Hamidin

FAM senarai pendek dua calon jurulatih – Hamidin

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di MAB Engineering Complex, KLIA. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2022.

SEPANG – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menyenarai pendek dua calon jurulatih tempatan bagi menggalas jawatan penolong Ketua Jurulatih Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dua calon itu telah disenarai pendek oleh Pengarah Teknikal, Scott O’Donell bersama ahli jawatankuasa minggu lepas.

“Saya telah serahkan kepada pengarah teknikal dan panel, mereka telah temuramah minggu lepas, lebih daripada enam orang (calon) yang saya ingat berminat mengikut kriteria.

“Dia (Scott O’Donell) dah tinggalkan senarai nama untuk dicadangkan kepada ketua jurulatih baharu, Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk membuat penilaian sendiri apabila di sampai nanti.

“Jadi kita tunggulah bila Kim sampai nanti dan dengan Scott O’Donell  sekali lagi bersama Kim akan buat temuramah serta membuat keputusan, memang dia (Scott O’Donell ) dah terangkan kepada saya dan ini adalah idea yang bijak.

“Dia mahu tinggalkan satu atau dua nama dan biarkan Kim yang tentukan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat AirBus 330-300 Harimau Malaya di di sini, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bergambar kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Kapten Izham Ismail serta yang lain berlatarbelakangkan Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya selepas merasmikannya di MAB Engineering Complex, KLIA. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2022.

Tambah Hamidin lagi, dua calon yang disenarai pendek ini pastinya memiliki Pro Lesen A selain memiliki pengalaman yang luas dalam bidang bola sepak.

“Saya rasa Scott O’Donell ini berpengalaman dari segi teknikal, jadi nama-nama ini yang telah disenarai pendek ini semuanya ada Pro Lesen A, dekat situ penanda aras kita, sama ada kategori besar atau tidak tapi sememangnya dia memiliki pengalaman.

“Scott O’Donell ini lain sikit dia ada bagi sebab kenapa memilih individu tersebut,” ujarnya.

FAM telah melantik bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong, Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan susulan kegagalan skuad negara di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, hujung tahun lalu.

Keputusan tersebut dimaklumkan Hamidin pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Kelana Jaya pada 21 Januari 2022 lalu.

Pan Gon dijangka tiba awal bulan depan bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Susulan perlantikan Pan Gon selaku ketua jurulatih, FAM turut memaklumkan seorang  jurulatih bola sepak tempatan yang mempunyai ‘nama besar’ antara individu berminat untuk menjadi pembantunya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, jurulatih berpengalaman tersebut antara 10 calon sedang diteliti O’Donell.

Antara beberapa nama yang dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah dan bekas pengendali Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan.

Manakala, dua calon lain yang juga hangat dikaitkan iaitu penolong Ketua Jurulatih Selangor FC Mohd Nidzam Jamil dan Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Mohd Zain namun menarik diri untuk dicalonkan kerana menghormati kontrak bersama kelab masing-masing. – MalaysiaGazette