Home Nasional Isu MARA: SPRM rakam keterangan 7 individu, beberapa lagi akan dipanggil

Isu MARA: SPRM rakam keterangan 7 individu, beberapa lagi akan dipanggil

Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan tujuh individu bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata individu yang dipanggil meliputi kakitangan daripada MARA, MARA Corporation (MARA Corp) dan sebuah syarikat setiausaha korporat yang terlibat.

“SPRM akan memanggil beberapa lagi individu daripada ketiga-tiga pihak berkenaan untuk dirakam kenyataan,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Azam berkata pihaknya juga tidak menerima laporan mengenai salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif MARA Corp Datuk Suhaili Abdul Rahman yang didakwa menggunakan kad kredit korporat syarikat itu.

Sebaliknya beliau berkata setakat ini, siasatan SPRM hanya mengenai isu salah laku dan integriti melibatkan pegawai kanan MARA dan MARA Corp.

Pada Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.- BERNAMA