Home Nasional Kes Covid-19 meningkat, Hishammuddin minta rakyat jangan bimbang

Kes Covid-19 meningkat, Hishammuddin minta rakyat jangan bimbang

Hishammuddin Hussien

KUALA LUMPUR – Walaupun kes harian positif Covid-19 kini semakin meningkat namun keadaan seperti sebelum ini tidak akan berlaku lagi di negara ini.

Itu jaminan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menasihatkan rakyat agar tidak bimbang dengan peningkatan kes harian sejak kebelakangan ini.

“Saya hendak beritahu orang ramai, kita tidak berada dalam keadan seperti dahulu. Jangan bimbang,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

Keadaan dahulu dimaksudkannya ialah peraturan ketat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu Hishammuddin berkata, penggunaan katil di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) selain tujuh tonggak dijadikan asas penilaian kerajaan untuk peralihan ke fasa endemik.

Katanya, untuk melangkah ke fasa endemik sistem kesihatan awam negara perlu sentiasa dalam keadaan terkawal.

“Seperti yang dapat dilihat daripada laporan Kementerian Kesihatan hari ini, biar pun jumlah kes harian terus meningkat namun jumlah yang dirawat di wad dan ICU adalah rendah.

“Ini menunjukkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan terkawal selari dengan kenyataan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) semalam.

“Situasi ini penting kerana untuk melaksanakan Fasa peralihan endemik, sistem kesihatan negara khususnya penggunaan katil di wad serta ICU harus terus berada pada kadar yang terkawal atau dalam erti kata lain tidak terbeban,” katanya lagi.

Tambah beliau, tujuh tonggak yang dijadikan pertimbangan kerajaan adalah melibatkan pematuhan 1 Prosedur Operasi Standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan termasuk Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System – HAS) dan National Testing Strategy.

“Selain itu, TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek); Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support) dan Pembukaan Sempadan Negara secara berperingkat dan Duta-Duta Pemerkasaan Komuniti,” katanya lagi.

Ujar Hishammuddin, ketujuh-tujuh tonggak pendekatan ini dinilai bersama-sama dengan tahap kesedaran rakyat terhadap pengawalan penularan Covid-19.- MalaysiaGazette