KUALA LUMPUR – Selepas lima hari dilaksanakan, sejumlah 41,393 kanak-kanak sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Menurut pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, Dr Saidatul Norbaya Buang, negeri Selangor mempunyai penerima terbanyak dengan 25,367 penerima.
“Kita tawarkan dos vaksin ini secara percuma kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status warganegara mahupun status OKU.
“Pada masa ini hanya dos vaksin keluarga Pfizer diluluskan oleh pihak berkuasa dan diberikan dua dos selang lapan minggu,” katanya sesi libat urus bersama media dengan PICKids dan laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Turut hadir dalam sesi libat urus itu adalah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Pengarah (NPRA) – Penilaian dan Pemantauan Keselamatan Produk Vaksin Covid-19, Dr Roshayati Mohd Sani; Pakar Kanak-kanak Hospital Raja Zainab 2, Kota Bharu, Dr. Nik Khairulddin Nik Yussoff.
Selain Selangor, Kuala Lumpur turut mencatatkan 8,623 dos, Sarawak 4,392 dan Sabah dengan 2,394 dos.
Dalam pada itu, Dr Saidatul berkata, KKM mensasarkan sejumlah 3.6 juta kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun untuk mendapatkan dos pertama vaksinasi Covid-19 mereka menjelang penghujung Mac depan.
PICKids dilancarkan pada 3 Februari lalu untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Setakat 1 Februari lalu, sejumlah 517,107 kanak-kanak sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan dos vaksin Covid-19 masing-masing. – MalaysiaGazette