Home Nasional Lebur RM700,000 main judi Pai Kow dalam ladang sawit

Lebur RM700,000 main judi Pai Kow dalam ladang sawit

MELAKA – Aktiviti judi Pai Kow yang dipercayai mengaut lebih RM700,000 sejak seminggu lalu tumpas susulan penahanan sembilan individu termasuk penganjurnya baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah JSJ (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kesemua mereka, lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 29 hingga 66 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah ladang sawit di Kampung Man Lok, Kuala Sungai Baru pukul 9.30 malam Ahad lalu.

Menurutnya, hasilnya polis merampas wang tunai daripada pertaruhan judi bernilai RM104,578 selain peralatan perjudian seperti 115 keping cip, meja dan kerusi.

“Turut ditahan adalah lelaki berusia 41 tahun yang juga penganjur aktiviti judi terbabit yang dipercayai aktif sejak seminggu lalu dengan melibatkan pertaruhan wang kira-kira RM100,000 sehari.

“Lelaki berkenaan yang juga pengusaha tanaman sawit mendapat pelanggan dalam kalangan rakan-rakannya yang juga pengusaha sawit dengan nilai taruhan paling rendah RM2,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut Meng Seah berkata, penganjur dipercayai meraih untung antara RM30,000 hingga RM40,000 sehari hasil pertaruhan pemain bermula daripada pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam yang dianggarkan lebih RM100,000 sehari.

“Kesemua mereka direman bermula semalam sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis Melaka turut berterima kasih kepada orang awam yang turut bekerjasama dengan pihak berkuasa menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah yang berlaku di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette