PUTRAJAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap agar Prosedur Operasi Standard (SOP) berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dilonggarkan.
Sebagai peneraju parti yang bakal bertanding di negeri itu, Muhyiddin berkata, kelonggaran SOP berkempen akan membolehkan sistem demokrasi berjalan dengan telus dan lancar.
“Saya harapkan supaya ada kelonggaran untuk bolehkan sistem demokrasi berjalan dengan lebih telus dan mereka yang terlibat dalam PRN, parti mana sekalipun diberikan peluang untuk berkempen, tapi ada batas-batas tertentu itu yang diharapkan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, hari ini.
Beliau berkata demikian, ketika ditanya sama ada mesyuarat pada hari ini membincangkan tentang SOP PRN Johor.
Namun kata Muhyiddin, mesyuarat MPN tidak membangkitkan isu PRN Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Johor ke-15 esok.
Sidang media tersebut dijangka bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Johor seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan. – MalaysiaGazette