KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat masih diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 22 Februari ini.
“Saksi iaitu Muhammad Sajjad beralamat terakhir di No 2 Jalan Polo Country Club Selangor, 10/3 Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Sajjad kini sudah berada di Australia.
Terdahulu, Sajjad ditahan Imigresen Thailand pada 6 petang 8 September tahun lalu, kerana memiliki pasport tidak sah.
Dia kemudian dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara itu.
Sajjad didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan selain diarah melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.
Ketika berada di Thailand, dia menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Pelarian Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia. – MalaysiaGazette