Home Nasional Sebanyak 15,205 saman sepanjang Op Selamat 17 di Pahang

Sebanyak 15,205 saman sepanjang Op Selamat 17 di Pahang

Datuk Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Sebanyak 15,205 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di Pahang sepanjang Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina selama 10 hari bermula 28 Januari hingga kelmarin.

Ketua polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berlaku peningkatan jumlah saman kali ini berbanding Op Selamat 16 iaitu sebanyak 11,922 saman atau kenaikan 27.5 peratus.

Kuantan mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 5,003 saman diikuti Lipis (1,861), Temerloh (1,831), Raub (1,219), Rompin (1,177) dan Bentong (1,068).

Sebanyak 884 saman dikeluarkan di Pekan, Jerantut (813), Bera (588), Maran (385) dan Cameron Highlands (376).

Dalam tempoh tersebut turut, sebanyak 553 kes kemalangan melibatkan sebanyak 12 kes kemalangan maut dengan 16 kematian direkodkan di Pahang, katanya.

Jelasnya jumlah kes kemalangan maut itu sama seperti direkodkan pada Ops Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina 2020.

“Bilangan kes kemalangan maut sama bagaimanpun bilangan kematian meningkat satu kes berbanding sebelum ini.

“Jumlah kes kemalangan turun 97 kes berbanding 650 kes direkodkan pada Op Selamat 16 di Pahang,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Ramli, sebanyak 13 tangkapan telah  dilakukan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan sepanjang 10 hari Op Selamat 17 dilaksanakan.

“Antara kesalahan melibatkan memandu di bawah pengaruh alkohol, menunggang secara melulu serta berbahaya.

“Selain itu mereka turut ditahan kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan menghalang penjawat awam serta melakukan kekerasan terhadap anggota polis,” katanya.

Bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ Op Selamat dilancarkan pada 28 Januari bagi peringkat Kontinjen Pahang di Tol Gambang.

Untuk rekod, sebanyak 170 borang pemakluman balik ke kampung telah diterima oleh pihak polis sepanjang 10 hari dilaksanakan. – MalaysiaGazette