KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mewajibkan jemaah Malaysia mendapatkan suntikan penggalak Covid-19 sebelum menunaikan ibadat umrah ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Malaysia hanya mengikut syarat yang ditetapkan pemerintah tanah suci itu.
“SOP untuk meletakkan syarat-syarat (umrah) oleh kerajaan Arab Saudi. Kalau ikut syarat Arab Saudi mereka memerlukan suntikan penggalak sebelum jemaah dibenarkan mengerjakan umrah.
“Kewajipan suntin vaksin itu yang berkuatkuasa 14 Februari ini juga adalah ketetapan Arab Saudi bukan kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita di Malaysia Tourism Centre (MaTiC) di sini malam ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jemaah Malaysia yang berhasrat menunaikan umrah perlu mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 sebelum melakukan perjalanan.
Hishamuddin berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga SOP baharu bagi aktiviti umrah yang akan dikuatkuasakan mulai 14 Februari ini.
Sebaliknya jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini hingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan keputusan kabinet membenarkan umat Islam untuk ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah mulai 8 Februari.
Perjalanan umat Islam untuk ke Mekah sebelum ini digantung selama sebulan berikutan penularan varian Omicron Covid-19 di Malaysia. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dos penggalak wajib untuk jemaah umrah bermula 14 Febuari ini