MELAKA – Seorang kakitangan kesihatan dan bekas pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah bersubahat dan menipu pembekalan peralatan air, empat tahun lalu.
Hakim Elesebet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dan Mohd Zamry Yazid, 47, membuat pengakuan bersalah atas tiga pertuduhan pilihan menipu pembekalan tidak wujud bernilai RM9,536.
Tindakan itu dilakukannya di PKD Jasin pada 5 dan 9 November 2018.
Muhammad Nurhafizi adalah Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran yang masih bertugas manakala Mohd Zamry merupakan Penolong Pegawai Perubatan yang tidak lagi bekerja.
Dalam pertuduhan, Mohd Zamry didapati telah bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi untuk melakukan kesalahan itu dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
Muhammad Nurhafizi yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork kemudian merayu hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung dua anak berusia tiga bulan dan lima tahun, selain ibu bapanya yang sakit.
Tambahnya, dia juga telah menyesali perbuatannya itu dan berharap keluarganya serta masyarakat dapat memaafkannya.
Sementara itu, Peguam Mohd Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohd Zamry merayu hukuman berupa denda diberikan dengan alasan perlu menjaga ibu dan adiknya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwanshah Abdul Samat memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh telah menggunakan wang awam untuk kepentingan peribadi.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh atau penjara 10 bulan jika gagal bayar.
Tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette