KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau menyedari positif Covid-19 setelah membuat ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) atau ujian antigen.
“Alhamdullillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik.
“Mengikut protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya akan menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya.
Mesyuarat itu dihadiri barisan Kabinet antaranya Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mesyuarat itu antaranya mencadangkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.
Sementara itu, Muhyiddin yang akan menjalani kuarantin kendiri di rumah menasihatkan kontak rapat beliau untuk berbuat perkara sama.
“Kepada sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat saya, saya nasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh KKM. Mohon doakan kesihatan saya dan keluarga,” kata Muhyiddin lagi. – MalaysiaGazette