GEORGE TOWN – Tiga individu termasuk pembantu khas Exco Pulau Pinang direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program membabitkan golongan penjaja yang melibatkan nilai rasuah lebih RM80,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret R. Manomani di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini sehingga 12 Februari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu pagi tadi.
Siasatan terhadap pembantu khas Exco berusia 42 tahun itu serta dua lagi individu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Difahamkan, kesemua individu terbabit termasuk pembantu khas exco itu dipercayai mengemukakan butiran palsu berkaitan pembekalan peralatan melibatkan enam buah syarikat sedangkan program pada 2020 tersebut tidak dilaksanakan.
Terdahulu ketiga-tiga individu termasuk seorang wanita tiba di pekarangan Mahkamah Majistret George Town, di sini, pada jam 10.15 pagi tadi dengan berpakaian lokap SPRM.
Sementara itu, peguam M. Puveneswaran yang mewakili pembantu khas itu berkata, lelaki berkenaan mengaku di hadapan majistret dia masih menerima gaji sebagai pembantu khas sehingga kini.
Semalam, SPRM Pulau Pinang menahan enam individu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berkaitan satu program membabitkan golongan penjaja melibatkan nilai rasuah lebih RM80,000.
Difahamkan, keenam-enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.
Bagaimanapun, tiga individu dilepaskan dengan jaminan SPRM dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Lim Bee Kean ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette