Home Politik PRN Johor: Muda tanding enam kerusi

PRN Johor: Muda tanding enam kerusi

parti Malaysian United Democratic Alliance MUDA membership Bong Jenn Foong
PRN Johor merupakan penampilan pertama MUDA dalam pilihan raya selepas menerima surat rasmi pendaftaran pada 28 Dis tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 12 Mac sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga menyatakan akan bertanding enam kerusi untuk pilihan raya berkenaan.

Menurut parti itu, ia diputuskan dalam kesepakatan yang dimuktamadkan antara DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Muda.

Muda akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang; Bukit Kepong; Parit Raja; Machap; Puteri Wangsa dan Bukit Permai, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Johor.

Dalam pada itu, Muda mengesahkan tiada pertindihan di semua kerusi antara Muda dan Pakatan Harapan (PH).

Ia berdasarkan kepada tiga matlamat utama yang telah dicapai pembangkang itu selepas rundingan yang diadakan mereka.

Antaranya menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera kesemua parti bertanding untuk memenangi setiap calon.

“Bersama-sama menubuhkan kerajaan Negeri Johor demi membantu rakyat mencapai impian mereka,” katanya lagi.

Muda turut memaklumkan rundingan kerusi antara partinya dengan PKR masih berjalan dan akan ditentukan dalam masa terdekat.

Isnin lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan empat mata dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan strategi dan perjalanan pihak pembangkang dalam menghadapi PRN Johor.

PH sebelum ini memaklumkan akan bertanding kesemua 56 kerusi DUN yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya negeri itu.

Anwar turut berkata, gabungan itu turut bersetuju untuk berunding dengan Muda berhubung pembahagian kerusi. – MalaysiaGazette