KUALA LUMPUR – Majoriti pengundi khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau dan Tenggaroh mahu calon muda diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, ada dalam kalangan mereka menyebut nama Presiden Ikatan Anak Mersing (IAM), Muhammad Syukri Ibrahim dan Ketua Bahagian UMNO Mersing, Youzaimi Yusof diangkat sebagai calon Barisan Nasional (BN).
“Daripada hampir 20 orang yang saya temui, dua pertiga pengundi mengandaikan bahawa Muhammad Syukri Ibrahim yang juga merupakan Bendahari Barisan Nasional (BN) Mersing.
“Bagi calon di DUN N33 pula, hampir kesemua penduduk bersetuju jika kerusi DUN Tenggaroh itu diwakili oleh wakil rakyat berbangsa Melayu memandangkan ianya majoriti kawasan Felda dan calon yang disebut-sebut selayaknya adalah Youzaimi Yusof,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Haslihelmy, BN seharusnya menyenarai kedua-dua calon itu kerana ia hasrat yang diketengahkan akar umbi.
Ini kerana kedua-dua mereka dilihat sebagai calon muda yang layak untuk menjadi wakil rakyat di DUN Endau dan Tenggaroh.
“Kedua-dua selayaknya diberi peluang kerana sikap ramah dan sering turun padang,” jelas Haslihelmy.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor manakala tarikh mengundi pula pada 12 Mac depan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media sebentar tadi.
Sejumlah 2,597,742 orang pemilih layak mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih kerajaan negeri Johor yang baharu. – MalaysiaGazette