Home Nasional Hanya PM boleh putuskan pembukaan sempadan negara – Hishammuddin

Hanya PM boleh putuskan pembukaan sempadan negara – Hishammuddin

BUTTERWORTH – Keputusan pembukaan sempadan negara akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas ia dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan mengambil maklum syor yang dikemukakan Majlis Pemulihan Negara (MPN) berhubung pembukaan sepenuhnya sempadan negara pada 1 Mac ini dan ia akan dibincangkan sebelum dimuktamatkan.

Jelas beliau, tidak timbul isu tiada komunikasi antara MPN dengan Menteri Kuartet Covid-19 berhubung pembukaan semula sempadan itu kerana individu yang sama menganggotai sidang tersebut.

“Sebenarnya, ini bukanlah sesuatu yang pelik dan boleh dijawab dengan mudah kerana di bawah Jawatankuasa Pemulihan Negara ini turut dianggotai oleh Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan ahli kuartet.

“Perkara biasa jika ada pihak yang cuba laga-lagakan kita namun apa yang boleh saya jelaskan, ahli MKN dan kuartet menteri adalah dianggotai individu yang sama.

“Cuma, di peringkat jawatankuasa pemulihan ini mereka tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan bagi pembukaan sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengenalan Pesawat AW 139 Tentera Udara Diraja Malaysia yang disewa di Pangkalan TUDM, di sini, hari ini.

Kelmarin, Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pembukaan sempadan perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa, katanya. – MalaysiaGazette