Home Utama Harga ayam: Industri kena tunggu, hendak ikut harga mana

Harga ayam: Industri kena tunggu, hendak ikut harga mana

Ayam hidup disimpan sebelum disembelih dan dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kekurangan bekalan ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Industri penternakan ayam lega selepas kerajaan bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.60 bagi setiap kilogram (kg) kepada penternak.

Bagaimanapun, para peserta industri masih perlu menunggu kata putus mekanisme penetapan harga sebenar subsidi berkenaan.

Sumber berkata, sebelum ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan RM5.60 kg bagi harga ladang tetapi semalam Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula memaklumkan sebanyak RM5.90 kg.

“Disebabkan penetapan harga yang berbeza-beza sebelum ini maka industri perlu menunggu kata akhir, yang mana satu kena ikut.

”Walaupun industri di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tetapi kawalan harga di bawah KPDNHEP. Jadi kami kena tunggu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jika penetapan harga ayam ladang sebanyak RM5.60 kg, para penternak masih ‘sukar bernafas’ kerana perlu menanggung kos yang tinggi.

“Kalau masih mengekalkan RM5.60 kg bermakna tak menyelesaikan masalah penternak kerana kami masih tanggung kerugian yang tinggi.

”Namun, jika penetapan dibuat pada harga RM5.90 kg, sekurang-kurangnya para penternak boleh kembali ke ladang dan meneruskan operasi seperti biasa,” jelasnya yang menaruh harapan agar isu harga ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Sumber berkata, keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri semalam sedikit sebanyak dapat meredakan kesukaran industri yang telah berdepan dengan pelbagai kenaikan kos terutama kenaikan harga dedak yang melampau sejak tahun lalu.

“Sudah tentu kami bersyukur apabila kerajaan nampak kesukaran dan kesusahan industri ini untuk meneruskan kelangsungan operasi. Kalau tidak, memang industri ini akan terus runtuh disebabkan kesan inflasi dunia,” tambah sumber tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, subsidi itu mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 setiap kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 setiap kg.

Manakala bagi telur, kerajaan juga telah bersetuju memberi subsidi sebanyak RM0.05 sebiji untuk semua jenis kategori “Tujuan pemberian subsidi adalah untuk meringankan beban penternak susulan peningkatan kos terutamanya kos makanan yang meliputi 70 peratus dari kos pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan,” katanya.

Tempoh pemberian subsidi mulai 5 Februari hingga 4 Jun 2022 iaitu sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM). – MalaysiaGazette