Home Ekonomi KDNK Malaysia berkembang 3.1% suku keempat 2021 – Bank Islam

KDNK Malaysia berkembang 3.1% suku keempat 2021 – Bank Islam

Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) ingin menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebuah laman sesawang penjualan saham palsu dan tidak akan menggunakan kaedah atau platform pelaburan sedemikian untuk mendapatkan pelaburan orang ramai dalam saham BIMB.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 3.1 peratus dari tahun ke tahun bagi suku keempat 2021, pulih daripada penurunan 4.5 peratus semasa suku September berikutan PKP 3.0 yang dilaksanakan pada akhir Jun tahun lepas.

Bank Islam dalam tinjauan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hari ini berkata pertumbuhan 3.1 peratus bagi suku terakhir 2021 itu turut mengambil kira banjir kilat yang melanda negeri-negeri utama pada akhir Disember 2021, yang menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM6.1 bilion.

“Kami juga mengekalkan sasaran pertumbuhan KDNK tahun penuh Malaysia 3.0 peratus pada 2021, tanpa mengambil kira sebarang perubahan yang tidak dijangka berikutan pengumuman data KDNK suku keempat 2021 menjelang 11 Feb ini,” kata bank itu.

Kebanyakan negara telah mencatatkan pertumbuhan KDNK pada suku keempat seiring dengan trajektori pemulihan ekonomi sejak separuh kedua 2021.

Filipina contohnya telah mencatatkan kadar pertumbuhan terbesar, berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2021 selepas merekodkan pertumbuhan 7.7 peratus pada suku akhir 2021, dipacu oleh langkah melonggarkan sekatan berkaitan pandemik yang kemudiannya telah menyokong aktiviti perniagaan pada tahun lepas.

Bank Islam berkata, pertumbuhan dua digit berterusan Malaysia dalam eksport, yang berjumlah 29.0 peratus pada suku keempat dan 15.9 peratus pada suku ketiga tahun lepas akan menjadi pemacu utama untuk ekonomi memandangkan pemulihan berterusan dalam permintaan global.

Dalam nota yang sama, Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia berkembang 6.9 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat berbanding dengan -1.1 peratus pada suku ketiga, dan kenaikan itu disumbangkan oleh prestasi positif dalam Indeks Pembuatan serta Indeks Elektrik, mencadangkan prospek yang lebih baik untuk pengeluar bagi 2022.

Bank juga menyatakan prospek ekonomi yang lebih cerah pada 2022 disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi bersama-sama dengan pengambilan penggalak, ini akan merangsang aktiviti ekonomi yang lebih meriah tahun ini.

Majlis Pemulihan Negara telah mencetuskan idea untuk membuka sempadan antarabangsa pada Mac depan, langkah yang akan memberi manfaat kepada sektor yang berkaitan dengan pelancongan.

Bagaimanapun, risiko penurunan masih kekal disebabkan keadaan masih tidak menentu susulan impak daripada virus Omicron telah berlarutan dengan lebih 10,000 orang dijangkiti setiap hari di Malaysia.

“Ini akan menimbulkan ancaman kepada pemulihan ekonomi domestik kerana langkah-langkah sekatan mungkin dikembalikan semula. Oleh itu, kami percaya laluan pemulihan amat bergantung kepada bagaimana negara menguruskan jangkitan COVID-19.

“Selain itu, gangguan rantaian bekalan, risiko geopolitik termasuk ketidakpastian terhadap persekitaran politik domestik juga dijangka menghalang prestasi ekonomi untuk bergerak ke hadapan,” kata Bank Islam. – MalaysiaGazette