Home Pendapat Little Napoleon sektor awam: Jangan manjakan kakitangan tak layak

Little Napoleon sektor awam: Jangan manjakan kakitangan tak layak

Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, istilah Little Napoleon kembali mencuri tumpuan umum. Ironinya isu ini seakan lagu lama yang diulang kembali seiring dengan peredaran zaman. Banyak laporan akhbar dan tulisan akademik yang telah mengulas tentang tindakan segelintir penjawat awam yang disifatkan sebagai Little Napoleon. Huraian demi huraian, sebab-musabab dan kesan dari perbuatan tersebut seringkali diulas. Sekiranya diteliti, cadangan penyelesaian juga telah dibincangkan sehingga ke peringkat persidangan akademik.

Ini menunjukkan fenomena Little Napoleon sesuatu yang benar-benar memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam. Umum mengetahui Little Napoleon terdiri dari kakitangan bawahan atau mereka yang kurang berkuasa tetapi mendapat perlindungan dari pegawai yang lebih tinggi. Setengahnya pula, turut merencatkan proses pendigitalan perkhidmatan awam dengan memilih untuk tidak mahu menambahbaik proses kerja. Pasti ramai pernah merasa tertekan, contohnya apabila berurusan di pejabat kerajaan pasca Covid-19 yang masih berkehendakkan pemohon hadir secara fizikal dalam sesuatu urusan seolah-olah tiada alternatif lain yang boleh membantu termasuk kaedah secara dalam talian.

Little Napoleon memilih untuk berasa selesa, selamat dan terus dilindungi oleh pegawai atasan serta semakin berani menegakkan benang yang basah dek kerana tidak mahu meningkatkan kualiti kerja yang sebelum ini memberi faedah kepada mereka. Persoalan sebenar, mengapakah golongan ini masih utuh berdiri dalam landskap perkhidmatan awam?

Hal ini sekali gus memberi tamparan kepada pentadbir sumber manusia khususnya di sektor awam tentang mekanisme pencegahan yang benar-benar mampu menghentikan kewujudan Little Napoleon di pejabat masing-masing. Pentadbir sumber manusia kini berdepan cabaran untuk menyedarkan kelompok ‘pegawai lebih tinggi’ yang selama ini melindungi Little Napoleon samada secara sedar atau tanpa disedari. Ketua jabatan harus memainkan peranan tegas dalam usaha ini dan paling penting, ketua jabatan sendiri tidak usah termasuk dalam kelompok pegawai yang melindungi Little Napoleon.

Ketua jabatan adalah pemimpin sektor awam yang seharusnya mempamerkan ketinggian integriti jabatannya. Integriti adalah nilai organisasi yang diterjemahkan oleh setiap warga kerjanya. Penting untuk ketua jabatan menekankan agar semua staf menghormati proses dan prosedur kerja seperti terkandung dalam myPortfolio.

Kebergantungan sesetengah pegawai yang keterlaluan kepada staf tertentu, antara faktor yang menyebabkan Little Napoleon tersebut memanipulasi keadaan. Kononnya, dia mendapat kepercayaan pegawai atasannya atau sesuatu urusan itu hanya dia yang mampu mengerjakannya dengan baik berbanding staf lain. Ada kalanya, wujud situasi sesetengah pegawai yang ‘buat-buat bodoh’ dalam memahami prosedur kerja atau urusan teknikal jabatannya. Pegawai seperti inilah nanti yang melepas tangan dengan menyerahkan urusan tersebut kepada ‘staf kepercayaannya’ dan kemudian memanipulasi keadaan.

Maka lahirlah Little Napoleon tanpa disedari. Wahai ketua jabatan dan pegawai sektor awam sekalian. Sedarlah bahawa ‘buat-buat bodoh’ bukan senjata atau alat untuk memenangi hati staf bawahan. Sebagai pegawai kerajaan, perlu tahu situasi tepat untuk memainkan peranan sebagai pengurus dan pemimpin di pejabat. Pengurus akan fokus kepada tugas dan fungsi kepada perkhidmatan awam di pejabat. Pemimpin dalam perkhidmatan awam pula, ialah pegawai yang tahu jalan melaksanakan tugas serta memberikan tunjuk ajar kepada pasukannya dan mampu menghuraikan clarity of purpose seperti dijelaskan Simon Sinek dalam the golden circle.

Jangan lahirkan Little Napoleon hanya kerana mahu menjadi popular di pejabat. Hormati pegawai dan staf lain yang kompeten. Latih dan didik supaya lahir lebih ramai pakar bidang (subject matter expert) dan bukan hanya bergantung kepada staf tertentu untuk proses kerja tertentu. Lebih memburukkan keadaan jika staf yang mendapat layanan istimewa itu melangkau hirarki ketua atau pegawai penilainya. Birokrasi diwujudkan atas keperluan sistem, perlu hormat susur galur jawatan dalam organisasi dan bukan hanya digunapakai untuk penilaian prestasi hujung tahun sahaja. Karenah birokrasi wujud kerana golongan yang tidak kompeten dan perlu perhatian. Maka proses yang mudah sengaja disukarkan atas kepentingan tertentu.

Kunci penyelesaian terletak pada pemimpin berintegriti dengan gaya kepimpinan sedar (conscious leadership). Pegawai sektor awam perlu sentiasa sedar, bahawa kesan terhadap setiap perbuatan lalu menjadi benteng pertahanan diri dan minda. Fokus kepada keputusan yang memberi impak positif kepada organisasi menjadi ciri utama ‘pemimpin sedar’ ini. Setiap jabatan kerajaan mempunyai nilai organisasi yang perlu dihayati secara bersama.

Kepimpinan sektor awam yang berintegriti tidak membiarkan nilai organisasi hanya menjadi slogan. Amalkan nilai organisasi melangkaui sebutan dan pernyataan di hati dan mulut. Terjemahkan dalam penganjuran aktiviti dan program latihan yang berpacukan nilai untuk meningkatkan kompetensi, khususnya kompetensi fungsian sesuatu skim perkhidmatan. Semoga dengan itu, Little Napoleon dapat dibanteras dan lebih ramai staf kompeten seronok bekerja dalam ekosistem perkhidmatan awam berkualiti yang mengutamakan pelanggan.

Tidak salah menunjukkan keikhlasan hati dan merendah diri dengan merapati staf bawahan termasuk dari kumpulan sokongan. Namun, ketua jabatan atau pemimpin sektor awam yang panjang kelulusan akademik serta tinggi integriti harus tahu menilai hati dan budi staf yang ‘menjadi kawan baiknya’ di pejabat. Mustahil, berbekal kelulusan akademik, pengalaman bekerja bertahun-tahun serta penerapan integriti melalui nilai dan pelbagai kempen di peringkat jabatan masih gagal menilai perilaku seorang staf yang ikhlas berkawan dengan ‘pegawai atasannya’ atas nama pekerjaan atau yang mengambil kesempatan memanipulasi keadaan. Bijaklah wahai segelintir pegawai kerajaan yang masih belum sedar diri.

Jangan rendahkan profesyen perkhidmatan awam dek kerana ceteknya penilaian terhadap situasi di pejabat sendiri. Ingat dan hayati bait-bait dialog popular filem Tiga Abdul arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “kamu dah tahu dia tu penipu. Muka dia tu pon muka penipu, yang kamu cerdik pandai yang kena tipu dengan dia tu pasal apa? Kamu tu yang bodoh!”. Ia bukan sekadar dialog sebuah filem, tapi penuh dengan sindiran dan maksud tersirat.

Tegasnya, perkhidmatan awam di Malaysia mampu menghapuskan Little Napoleon sekiranya kepimpinan sektor awam melaksanakan tugas secara berintegriti. Janganlah memanjakan staf yang tidak layak, dengan memberikan akses kepada proses kerja penting yang membuka ruang kepada salah guna kuasa. Banyak kaedah lain boleh dilaksanakan dalam mewujudkan keharmonian di pejabat selain dari memberikan ruang untuk lahirnya Little Napoleon yang hanya merosakkan reputasi perkhidmatan awam negara.

Oleh: Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad Abdul Qaiyum Abdul Razak
Timbalan Pendaftar Kanan
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) UiTM
merangkap Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber
Manusia Malaysia (MIHRM)

dan

Abdul Qaiyum Abdul Razak
Penolong Pendaftar Kanan
Pusat Pembangunan Kompetensi
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD)
UiTM