Home Nasional Mayat kru bot ditemui terapung di muara Kuala Kuar

Mayat kru bot ditemui terapung di muara Kuala Kuar

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat.

KUALA KEDAH – Mayat seorang kru bot yang dikhuatiri lemas ditemui terapung oleh nelayan tempatan di kedudukan 5.9 batu nautika muara Kuala Kuar, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 1.10 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terapung tanpa baju.

Jelas beliau, sejurus menerima panggilan itu Zon Maritim Kuala Kedah terus mengatur gerak bot PERKASA 1226 ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kita dapati mayat berkenaan telah dibawa naik ke atas oleh sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 1.7 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dan dipindahkan ke bot PERKASA 1226 untuk dibawa ke Jeti Nelayan Kuala Kuar.

“Mayat mangsa dipindahkan ke bot aluminium Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berikutan keadaan muara yang cetek dan air surut.

“Susulan itu, waris mangsa telah melakukan pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak pihak untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, APMM mengingatkan semua pihak yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04 731 0579. – MalaysiaGazette