PUTRAJAYA – Rakyat Johor diingatkan agar tidak mudah percaya kepada khabar angin kononnya dua menteri Bersatu akan kembali kepada UMNO, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak menolak kemungkinan ia sekadar perang psikologi terhadap parti itu dan Perikatan Nasional (PN) bagi meraih undi.
“Mengapa ia berlaku sekarang bila ada PRN Johor. Ia hanya memaklumkan kepada rakyat Johor, engkau jangan percaya Bersatu…pemimpin dia pun nak balik kepada UMNO.
“Itulah cara nak perang psikologi orang, oleh kerana itu khabar angin, maka bermakna tujuan mereka hanyalah sebagai peperangan psikologi,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.
Beliau mengulas desas-desus berhubung dua Menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai semula UMNO bertiup kencang di media sosial sejak Selasa lalu.
Dua individu berkenaan melibatkan seorang menteri kanan memegang jawatan kanan dalam Bersatu manakala seorang lagi pemimpin yang agak muda pula hanya memegang jawatan biasa tetapi berstatus menteri.
Hamzah melihat perkara itu sengaja digembar-gemburkan dalam media sosial bagi mendapatkan keuntungan politik parti pemerintah yang bertanding dalam PRN Johor.
“Perang psikologi orang dalam politik ini adalah untuk kepentingan mereka yang berjuang untuk parti mereka.
“Jadi itu biasalah berlaku, kalau khabar angin, tak usah percaya, kalau surat layang, lagi jangan percaya.
“Kalau diumumkan oleh orang yang betul-betul nak keluar, (baru boleh) percaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette