PUTRAJAYA, 10 Feb — Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mohd Shafiq, 58, yang sebelum ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan lepas.
Mohd Zuki dalam kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Mohd Shafiq sebagai KPPA.
Mohd Shafiq telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama disandangnya ialah sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.
Mohd Shafiq berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun
Beliau turut merakamkan penghargaan kerajaan kepada Mohd Khairul Adib atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA. – MalaysiaGazette