KARNATAKA – Sebuah negeri di India telah menutup sekolah tinggi dan kolej selama tiga hari, selepas perbalahan mengenai pelajar perempuan Islam bertudung di dalam bilik darjah.
Kerajaan negeri Karnataka mengambil keputusan itu selepas bantahan pelajar berhubung hijab meningkat dan menjadi keganasan.
Pada hari Rabu, seorang hakim di mahkamah tinggi negeri merujuk petisyen yang mencabar larangan itu kepada panel yang lebih besar.
Protes kini telah merebak ke seluruh negara.
Beratus-ratus orang berdemonstrasi menentang larangan di Kolkata dan Chennai, dua bandar terbesar di India dan di Hyderabad.
Kerajaan Pakistan memanggil duta India untuk menyampaikan kebimbangannya secara rasmi.
Keputusan untuk menutup sekolah dan kolej di negeri selatan India itu dibuat selepas bantahan oleh enam pelajar remaja di kolej kendalian kerajaan berhubung pemakaian tudung hingga merebak ke kolej lain.
Isu itu mula mendapat perhatian apabila pelajar di kolej prauniversiti – setaraf dengan sekolah menengah – di daerah Udupi di Karnataka mula membantah larangan peljar berhijab.
Udupi ialah salah satu daripada tiga daerah di wilayah pesisir pantai Karnataka yang sensitif terhadap kaum.
Wilayah ini adalah kubu kuat Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Kolej itu berkata, pihaknya membenarkan pelajar memakai tudung di kampus dan hanya meminta mereka menanggalkannya di dalam bilik darjah.
Tetapi penunjuk perasaan berhujah bahawa mereka juga harus dibenarkan menutup rambut mereka di dalam kelas.
Pelajar itu menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak atas arahan Barisan Kampus India – sayap pelajar kumpulan Islam radikal, Barisan Popular India – yang membela mereka.
Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat wanita memakai tudung dan burka – tudung penuh Islam – di India.
Tetapi pengetua kolej berkata, guru-guru perlu melihat wajah pelajar dan memakai pakaian seragam dapat membantu mereka memastikan tiada diskriminasi dalam kalangan pelajar.
Isu wanita Islam memakai tudung telah timbul di beberapa kolej lain di Karnataka sebelum ini, tetapi ia mula mendapat momentum apabila gambar penunjuk perasaan wanita di Udupi menjadi tular.
Pelajar Hindu di beberapa kolej lain mula datang ke kelas dengan memakai selendang berwarna jingga, memaksa pegawai bertegas dengan tidak membenarkan kedua-duanya masuk ke kampus.
Minggu lalu, video yang menunjukkan pintu pagar ditutup ke atas sekumpulan pelajar berhijab – yang dirakam di sebuah kolej prauniversiti di Kundapur di daerah Udupi hingga mencetuskan kemarahan. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-india-60312864)