Home Nasional PICKids: 83,600 kanak-kanak masih belum daftar, 1,360 sudah divaksin

PICKids: 83,600 kanak-kanak masih belum daftar, 1,360 sudah divaksin

Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Seramai 83,600 ibu bapa kanak-kanak di negeri ini masih belum mendaftarkan anak mereka untuk menerima vaksin Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, faktor ‘tunggu dan lihat’ dipercayai menjadi punca mengapa ramai ibu bapa takut untuk mendaftarkan anak-anak mereka di bawah di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Menurutnya, setakat ini hanya kira-kira 15,000 kanak-kanak sudah didaftarkan di bawah PICKids melalui aplikasi MySejahtera, sejak awal Januari lalu berbanding jumlah keseluruhan 98,600 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di Melaka.

“Angka daripada 15,000 menuju 98,600 ini masih jauh namun kita jangka ia akan meningkat apabila keyakinan ibu bapa semakin meningkat berbanding ketika ini ramai yang lebih suka bersikap ‘tunggu dan lihat’ kesannya terhadap kanak-kanak lain yang sudah dapat vaksin.

“Sasaran kita, akhir bulan ini seramai 50 peratus atau 49,300 kanak-kanak di Melaka akan menerima vaksin yang mana setakat ini 1,360 kanak-kanak sudah divaksin di bawah PICKids di tujuh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Dato Haji Ahmad Ithnin di Merlimau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, vaksin terhadap kanak-kanak penting kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan risiko jangkitan tetapi mengurangkan tahap keseriusan apabila dijangkiti.

“Semalam kita juga dah bincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), jika ramai ibu bapa yang menghadapi kesukaran untuk bawa anak mereka ke PPV, kita bercadang menggerakkan unit bergerak pemberian vaksin ke sekolah-sekolah tertentu.

“Mungkin unit ini akan digerakkan selepas pembukaan sesi sekolah depan tapi kita kena tengok dulu berapa ramai ibu bapa dan sekolah yang bersetuju dengan cadangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette